Kek pop comel Trend baru sajian pemanis mulutKEK kecil dan comel seperti  cup cake bukan lagi menjadi sajian pemanis mulut yang asing di kalangan  penggemar kek khususnya wanita dan kanak-kanak. Selain hiasannya yang cantik,  bentuknya yang comel itu bagaikan melambai-lambai untuk dijamah.
Pengusaha kek comel, Zuriana Abdul Rahman, 33, yang memperkenalkan kek  comel digelar ‘pop cake’ berkata, kek berkenaan mendapat sambutan menggalakkan  sejak diperkenalkan dua tahun lalu.Katanya, idea menghasilkan pop cake berkenaan timbul selepas melihat  rancangan televisyen dari Amerika Syarikat (AS) yang memaparkan kisah mengenai  kek berkenaan.
“Dalam satu rancangan yang ke udara di televisyen, saya  melihat chef berkenaan menghasilkan kek berbentuk bulat yang amat cantik dan  menyelerakan. Tanpa berlengah lagi saya mencubanya dan hasilnya amat  membanggakan. Apabila diberi kepada rakan-rakan sekerja, ada yang suka dan ingin  menempah. Sejak itulah saya menjadikan ia sebahagian daripada sumber  pendapatan,” katanya yang menghasilkan kek berkenaan secara sambilan saja.
Pop cake adalah kombinasi kek coklat yang diadun krim keju bagi  membangkitkan kepelbagaian rasa. Ia disaluti coklat dan coklat putih serta  ditaburi biji coklat berwarna. Ia dicucuk pada lidi untuk memberikan rupa yang  unik seakan gula-gula lollipop.
Zuriana berkata, kek berkenaan boleh ditempah, tetapi ia dihantar ke lokasi  tertentu saja. Bagaimanapun, beliau turut menganjurkan kelas memasak yang  mengenakan bayaran tertentu untuk berkongsi idea berkenaan dengan penggemar kek.
“Kek ini terlalu rapuh dan tidak sesuai untuk dihantar menerusi pos.  Pelanggan boleh mengambilnya dari rumah saya atau menempah menerusi beberapa  penjual pop cake yang pernah mengikut kelas yang saya anjurkan,” katanya.
Beliau berkata, kek berkenaan tahan selama tiga hari pada suhu bilik dan  satu hingga dua minggu di dalam peti sejuk. Sebiji kek boleh didapati pada harga  RM1.80 ke atas. Maklumat lanjut layari http://popcake2u.blogspot.com/
INFO: Popcake
 Lolli Popcake (lidi)
Popcake ball
Wedding popcake
Popcake hantaran
Fancy popcake
Goodies popcake
Popcake pahar.